Apabila berbicara tentang pergorbanan para sahabat waktu ketika dahulu, sememangnya tiada tolok bandingnya. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi untuk memenangkan agama Islam yang tercinta. Jadi tidaklah menghairankan apabila seorang sahabat Rasulullah yang bernama Hanzalah telah bertindak untuk menyahut seruan jihad walaupun dirinya baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Beliau sanggup untuk mengorbankan kenikmatan dunia semata-mata untuk berjuang memberi kemenangan kepada agama Islam.
Hanzalah bin Abu Amir adalah merupakan anak kepada timbalan ketua munafik di Madinah namun beliau telah menyahut seruan untuk memeluk Islam. Gendang jihad dipalu dalam Peristiwa Uhud menyebabkan Hanzalah terpanggil untuk menyahut seruan tersebut, pada hal ketika itu beliau baru berkahwin dengan seorang gadis yang cantik. Dalam perang ini dikisahkan bahawa Hanzalah syahid dalam keadaan berjunub sehingga dirakamkan bahawa beliau dimandikan oleh Malaikat.
Tatkala perkahwinan Hanzalah dengan sepupunya, Jamilah binti Ubay telah siap diatur, secara kebetulan hari tersebut telah bertembung dengan hari di mana berlakunya peperangan tentera Islam menentang kafir Quraisy di Bukit Uhud.
Walaupun Hanzalah telah menyatakan hasratnya untuk menangguhkan perkahwinannya kepada Rasulullah supaya dia dapat untuk menyertai peperangan tersebut, Rasulullah s.a.w. berkeras supaya Hanzalah meneruskan perkahwinannya dan memberi cadangan supaya Hanzalah menyusuli tentera Islam di Bukit Uhud pada keesokan hari, setelah selesai upacara perkahwinan.
Pada malam tersebut, berlangsunglah perkahwinan antara Hanzalah bin Abu Amir dengan sepupunya, Jamilah binti Ubay. Dan pabila telah tiba waktu fajar, kota Madinah telah dikejutkan dengan paluan gendang yang mengajak dan menyahut agar pejuang Islam bangkit untuk berjihad. Panggilan jihad tersebut telah mengejutkan Hanzalah dan beliau terus bertekad untuk menyertai seruan jihad tersebut, meninggalkan kenikmatan dunia bagi mengejar kebahagiaan akhirat.
Dengan berat hati, isterinya yang baru sahaja dinikahinya merelakan pemergiaan Hanzalah ke peperangan tersebut. Pada waktu itu, Hanzalah tidak sempat pun untuk mandi junub, beliau telah pantas untuk memenuhi tuntutan kebenaran dan terus menuju ke medan peperangan Uhud.
Di dalam peperangan Uhud tersebut, Hanzalah telah berjaya menewaskan Abu Sufyan, salah seorang daripada panglima tentera Quraisy, sebelum beliau sendiri telah rebah syahid setelah diserbu oleh tentera-tentera Quraisy.
Sebaik sahaja perang tamat, tentera Islam yang cedera telah diberikan rawatan. Mayat-mayat yang bergelimpangan dikenalpasti dan nama-nama mereka, tujuh puluh orang kesemuanya, dicatat.
Sedang Nabi Muhammad yang tercedera dan patah beberapa batang giginya diberi rawatan, baginda telah mengatakan sesuatu, “Aku nampak antara langit dan bumi para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air awan di dalam dulang perak.”
Salah seorang dari tentera Islam yang berada di situ, Abu Said Saidi lalu pergi mencari mayat Hanzalah. Wajah Hanzalah kelihatan tenang walaupun beliau telah cedera parah hasil daripada pertempurannya. Dari rambutnya kelihatan titisan air persis mutiara berlinangan turun. Sesungguhnya sangat beruntung Hanzalah mendapat layanan yang begitu istimewa dari malaikat. Begitulah ganjaran bagi mereka yang sanggup untuk mengorbankan kenikmatan dunia untuk mengejar redha Ilahi.
Wallahua'alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan